Weblog Abuyusoef aka Abuyya

Just another WordPress.com weblog

Ramadhon bulan persiapan untuk berhijrah

Oleh: Abuyusoef Al-Maranji

 

Beberapa hari lagi kita akan menyambut Ramadhan. Hayya Ya Ramadhan. Di sisi Allah Puasa Ramadhan merupakan suatu ibadah yang begitu istimewa sehinggakan nilaian ganjarannya ditentukan olehNya mengikut kehendaknya tidak sama dengan amalan ibadah yang lain. Abu Hurairah RA berkata Nabi SAW bersabda: ِAllah berfirman:

 

كل عملابن ادم له الا الصيام فانه لي وانا اجزي به والصيام جنة

 

(Kullu ‘amalibni A-dam lahu illas siyam, fainnahu li wa ana ajzee bihiwas siyaamu junnatun) yang bermaksud: Semua amalan anak Adam adalah untuk dirinya kecuali puasa, maka sesungguhnya Puasa adalah untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Dan puasa itu suatu perisai…. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Mungkin ada orang berkata agak terlalu awal untuk berbicara pasal Ramadhon. Tidak! Tidak sama sekali bagi orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa kerana mereka sentiasa menunggu setiap Ramadhon dengan penuh harapan dan kasih sayang. Meskipun hanya 2 minggu lagi saat ketibaan Ramadhon, kita tidak boleh terlalu yaqin yang kita akan bertemu dengan Ramadhon. Entah-entah nama kita tersenarai dalam mereka yang akan dipanggil oleh Allah. Ya Allah ketemukanlah kami dengan Ramadhon lagi, bulan yang penuh rahmat, maghfiroh dan bulan yang memberi peluang kepada kami untuk berdoa dibebaskan dari api neraka (’itqun minannar).

 

Dalam satu hadis lain dari Sahl bin Saad RA yang meriwayatkan Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya di syurga ada pintu masuk bernama Ar-Royyan, tempat masuk orang yang berpuasa…”

 

Sekiranya Ramadhon kali ini yang pertama bagi saudara baru (converts), inilah peluang untuk anda melatih diri berpuasa. Memang bulan Ramadhon merupakan bulan latihan/tarbiyyah bagi Muslim dengan harapan menjadi seorang yang bertaqwa. Tidak dinafikan setiap kita mempunyai kelemahan dan kita terpaksa melupakan amalan secawan kopi atau sepotong rokok di pagi hari ketika puasa bermakna meninggalkan atau mengurangkan pengambilan kafein atau nikotin. Alangkah baiknya kalau kita dapat meninggalkan terus pengambilan nikotin (rokok) hasil dari tuntutan Ramadhon meninggalkan yang haram atau paling tidaknya makruh tahrim (makruh yang dilarang). Ya…berpuasa dan meninggalkan menghisap rokok…boleh dijadikan sebagai azam berhijrah meninggalkan perkara yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga Majlis Fatwa Dunia-rokok adalah haram.

 

Bukanlah maksud saya untuk menjadi pemfatwa dengan nada ‘ha za halalun wa ha za haromun’ kerana saya bukan mufti tetapi lebih kepada melihat kedudukan amalan merokok yang tidak siapa yang menafikan ia suatu amalan yang tidak baik…

 

 

 

HIMPUNAN FATWA HARAM MEROKOK

 

Fatwa Syeikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin

 

Merokok haram hukumnya berdasarkan makna dari zahir ayat Al-Qur’an dan As-Sunnah serta iktibar (logik) yang benar. Allah berfirman (yang bermaksud), “Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu sendiri dalam kebinasaan.” (Al-Baqarah: 195).

 

Maknanya, janganlah kamu melakukan sebab yang menjadi kebinasaanmu. Wajhud dilalah (aspek pendalilan) dari ayat di atas bermaksud merokok termasuk perbuatan yang mencampakkan diri sendiri ke dalam kebinasaan.

 

Sedangkan dalil dari As-Sunnah adalah hadis sahih dari Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam bahwa beliau melarang membazirkan harta. Makna membazirkan harta adalah memperuntukkannya kepada hal-hal yang tidak bermanfaat. Sebagaimana dimaklumi bahwa memperuntukkan harta dengan membeli rokok adalah termasuk pengperuntukan harta pada hal yang tidak bermanfaat, bahkan peruntukan harta kepada hal-hal yang mengandung kemudaratan.

 

Dalil yang lain, Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam bersabda, “Tidak boleh (menimbulkan) bahaya dan tidak boleh pula membahayakan orang lain.” (HR. Ibnu Majah dari kitab Al-Ahkam 2340).

 

Jadi, menimbulkan bahaya (dharar) adalah ditiadakan (tidak berlaku) dalam syari’at, baik bahayanya terhadap badan, akal, ataupun harta. Sebagaimana dimaklumi pula merokok adalah berbahaya terhadap badan dan harta.

 

Adapun dalil dari iktibar (logik) yang benar yang menunjukkan keharaman rokok adalah kerana dengan perbuatan itu perokok mencampakkan dirinya ke dalam hal yang menimbukan bahaya, rasa cemas, dan keletihan jiwa. Orang yang berakal tentu tidak rela hal itu terjadi pada dirinya sendiri. Alangkah tragisnya keadaannya, dan demikian sesaknya dada si perokok bila tidak menghisapnya. Alangkah berat ia melakukan puasa dan ibadah-ibadah lainnya kerana hal itu menghalagi dirinya dari merokok. Bahkan, alangkah berat dirinya berinteraksi dengan orang-orang saleh kerana tidak mungkin mereka membiarkan asap rokok mengepul di hadapan mereka. Oleh itu anda akan melihat perokok demikian tidak selesa bila duduk dan berinteraksi dengan orang-orang saleh.

 

Semua iktibar itu menunjukkan merokok hukumnya diharamkan. Oleh itu, nasihat saya untuk saudara-saudara kaum muslimin yang masih didera oleh kebiasaan menghisap rokok agar memohon pertolongan Allah dan tekad untuk meninggalkannya. Ini kerana di dalam tekad yang tulus disertai dengan memohon pertolongan Allah, mengharap pahala dari-Nya dan menghindari siksaan-Nya, semua itu adalah amat membantu di dalam usaha meninggalkan hal tersebut.

 

Jawapan Atas Berbagai Dalihan

Jika ada orang yang berdalih, “Sesungguhnya kami tidak menemukan nas, baik di dalam kitabullah ataupun sunnah Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam perihal haramnya rokok.”

 

Maka, jawapan atas kenyataan ini kita nyatakan nas-nas Al-Qur’an dan sunnah terdiri dari dua jenis;
1. Jenis yang dalil-dalilnya bersifat umum seperti Adh-Dhawabith (ketentuan-ketentuan) dan kaedah-kaedah yang mencakup perincian yang banyak sekali hingga hari kiamat.
2. Jenis yang dalil-dalilnya memang diarahkan kepada suatu itu sendiri secara langsung.

 

Bagi jenis pertama, ayat Al-Qur’an dan dua hadis yang kami sebutkan di atas yang menunjukkan keharaman merokok secara umum meskipun tidak diarahkan secara langsung kepadanya. Manakala bagi jenis kedua, ialah fiman Allah (yang bermaksud), “Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah.” (Al-Maidah: 3).

 

Dan firman-Nya, “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya meminum khamr, berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dari amalan syaitan. Maka, jauhilah perbuatan-perbuatan itu.” (Al-Maidah: 90).

 

Jadi, baik nas-nas itu termasuk jenis pertama atau kedua, ia bersifat keharusan bagi semua hamba Allah kerana dari sisi pengambilan dalil menunjukkan hal itu.

 

Sumber: Program Nur ‘alad Darb, dari Fatwa Syekh Muhammad bin Shaleh Al-Utsaimin, dari kitab Fatwa-Fatwa Terkini 2.

 

Syeikh Muhammad bin Ibrahim

 

Rokok haram kerana di dalamnya ada racun. Al-Qur’an menyatakan, “Dihalalkan atas mereka apa-apa yang baik, dan diharamkan atas mereka apa-apa yang buruk (kotoran).” (al-A’raf: 157). Rasulullah juga melarang setiap yang memabukkan dan melemahkan, sebagaimana diriwayatkan Imam Ahmad dan Abu Dawud dari Ummu Salamah ra. Merokok juga termasuk melakukan pembaziran yang tidak bermanfaat. Selanjutnya, rokok dan bau mulut perokok mengganggu orang lain, termasuk pada jamaah solat.

 

 

 

 

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab

 

Rokok haram kerana melemahkan dan memabukkan. Dalil nas tentang benda memabukkan sudah cukup jelas. Hanya saja, penjelasan tentang mabuk itu sendiri perlu penyesuaian.

 

Ulamak Mesir, Syria, Saudi

 

Rokok haram iaitu terlarang, dengan alasan membahayakan. Di antara yang mendokong dalil ini ialah Syeikh Ahmad as-Sunhawy al-Bahuty al-Anjalaby dan Syeikh Al-Malakiyah Ibrahim al-Qaani dari Mesir, An-Najm al-Gazy al-Amiry as-Syafi’i dari Syria, dan ulamak Mekkah Abdul Malik al-Ashami.

 

Dr Yusuf Qardhawi

 

Rokok haram kerana membahayakan. Demikian disebut dalam bukunya ‘Halal & Haram dalam Islam’. Menurutnya, tidak boleh seseorang membuat bahaya dan membalas bahaya, sebagaimana sabda Nabi yang diriwayatkan Ahmad dan Ibnu Majah. Qardhawi menambahkan, selain berbahaya, rokok juga mengajak penikmatnya untuk membazir masa dan harta. Padahal lebih baik harta itu digunakan untuk yang lebih berguna, atau diinfaqkan bila memang keluarganya tidak memerlukan.

 

SyariahOnline.com

 

Keharaman rokok tidaklah berdasarkan sebuah larangan yang disebutkan secara mutlak dalam nas Al-Quran Al-Kariem atau pun As-Sunnah An-Nabawiyah.

 

Keharaman rokok itu disimpulkan oleh para ulamak semasa ini setelah dipastikannya fakta setiap batang rokok itu mengandung lebih dari 4000 jenis racun berbahaya. Oleh kerana racun itu merosak tubuh manusia yang sebenarnya amanah Allah SWT untuk dijaga dan dipelihara, maka merokok itu termasuk melanggar amanat itu dan merosak larangan.

 

Namun banyak orang yang menganggap hal itu terlalu mengada-ada, sebab buktinya terdapat jutaan orang di muka bumi ini yang setiap hari merokok dan buktinya mereka masih bernafas iaitu tidak langsung mati secara mendadak.

 

Kerana itulah kita masih menemui rokok di sekeliling kita dan ternyata rokok masih bertahan. Bahkan mampu memberikan pulangan kepada pemerintah melalui cukainya. Sehingga tidak pernah muncul keinginan baik dari pembuat undang-undang untuk melarang rokok.

 

Ini merupakan salah satu ciri ketidak-sampaian maklumat kepada masyarakat atau memang masyarakat tidak prihatin. Di negara yang sudah maju, maklumat berkaitan tidak dianggap penting. Dan kedua jenis masyarakat ini memang sama-sama tidak tahu apa yang terbaik buat mereka.

 

Di dalam hukum Islam, apabila sesuatu itu telah dipastikan yang ia membahayakan kesihatan, maka menggunakannya adalah diharamkan. Inilah bentuk ketegasan hukum Islam yang sudah menjadi ciri khas. Maka khamar itu tetap haram meski hanya seteguk ditelan untuk sebuah malam yang dingin menusuk.

 

Demikian pula para ulamak ketika menyedari kewujudan lebih 4000 racun dalam batang rokok dan mengetahui akitab-akibat yang diderita para perokok, mereka pun sepakat untuk mengharamkannya. Sayangnya, umat Islam masih lagi menganggap sekiranya tidak ada ayat yang tegas atau hadits yang eksplisit yang mengharamkan rokok, maka mereka masih menganggap rokok itu halal, atau makruh paling minima.

 

Ustaz Ahmad Sarwat , Konsultan eramuslim.com

 

Pada peringkat permulaan, tidak ada ulamak yang mengharamkan rokok. Mereka hanya memakruhkannya yang dasarnya amat berbeza dengan dasar pengharaman yang dibuat sekarang ini. Dahulu para ulamak hanya menganggap bau mulut perokok agak kurang sedap yang mengganggu orang lain semasa bergaul. Akibatnya si perokok kurang disukai dan dikatakan hukumnya makruh tahrim (makruh terlarang).

 

Sebahagian ulamak di negara kita yang menghisap rokok, bila ditanyakan tentang hukum rokok, mereka terus menjawab rokok itu tidak haram, tetapi hanya makruh sahaja.

 

Mengapa mereka menganggap demikian?

 

Mereka menganggapnya demikian kerana kajian secara jelas tentang nikotin dan zat beracun dalam sebatang rokok kurang jelas dan penelitian dan fakta belum ditemui ketika itu. Maka hukum rokok hanya sekedar makruh lantaran membuat mulut berbau busuk serta mengganggu pergaulan.

 

Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia (yang ke 37, Tahun 1995)

 

MFKM ke 37 memutuskan rokok adalah haram berdasarkan hujjah yang hamper sama dengan fatwa di atas, malah Majlis Fatwa Sedunia yang berpengkalan di Arab Saudi juga menghukum haram merokok atas maklumat terkini mengenai rokok.

 

Penelitian Terbaru

 

Seandainya para ulamak tersebut tidak hanya terpaku pada naskah lama dan mengikuti perkembangan terbaru di Negara umat Islam yang agak maju, sudah tentu pandangan mereka berubah 360 darjah. Apalagi bila mereka membaca penelitian terbaru tentang lebih 200 jenis racun berbahaya terdapat dalam sebatang rokok, sudah pasti mereka beubah pandangan dan bersetuju rokok mendatangkan mudarat yang amat besar kepada penghisapnya dan orang di sekeliling. Malah mereka akan bersetuju dan menerima rokok bukan sekadar makruh akibat bau busuk mulut perokok tetapi haram, lantaran ia telah banyak meragut manusia. Statistik menunjukkan kadar kematian disebabkan menghisap rokok lebih tinggi daripada akibat peperangan dan kemalangan jalanraya.

 

Badan kesihatan dunia WHO melaporkan di Amerika, sekitar 346 ribu orang meninggal setiap tahun disebabkan rokok, dan tidak kurang dari 90% daripada 660 orang yang terkena penyakit kanser di salah satu rumah sakit Shanghai di Cina disebabkan rokok.

 

Penelitian juga menyebutkan 20 batang rokok sehari akan menyebabkan berkurangnya 15% hemoglobin, yakni zat asasi pembentuk darah merah.

 

Seandainya para ulamak mengetahui penelitian terakhir tentang rokok mengandungi lebih kurang 4.000 elemen-elemen dan setidaknya 200 di antaranya dinyatakan berbahaya bagi kesihatan, pastilah pandangan mereka akan berubah.

 

Racun utama pada rokok adalah tar, nikotin dan karbon monoksida. Tar adalah bahan hidrokarbon yang bersifat lekit dan melekat pada paru-paru. Nikotin adalah zat adiktif yang mempengaruhi saraf dan peredaran darah. Zat ini bersifat karsinogen dan mampu menyebabkan kanser paru-paru yang mematikan. Karbon monoksida adalah zat yang mengikat hemoglobin dalam darah, membuat darah tidak mampu mengikat oksigen.

 

Kesan racun pada rokok ini membuat penghisap asap rokok mengalami risiko 14 kali lebih besar kemungkinan terkena kanser paru-paru, mulut, dan tenggorokan berbanding mereka yang tidak merokok.

 

Perokok juga berkemungkinan 4 kali lebih besar untuk terkena kanser esophagus dari mereka yang tidak menghisapnya. Di samping mereka juga berisiko 2 kali lebih besar untuk terkena serangan jantung berbanding dengan yang tidak merokok.

 

Rokok juga meningkatkan risiko keparahan bagi penderita pneumonia dan jantung gagal serta tekanan darah tinggi. Menggunakan rokok dengan kadar nikotin rendah tidak akan membantu, kerana perokok cenderung menyedut asap rokok secara lebih keras, lebih dalam, dan lebih lama untuk mengikuti keenakan zat adiktif.

 

Tidak ada seorang pun yang menyangkal semua fakta di atas, kerana ia hasil penelitian ilmiah. Bahkan pengusaha rokok pun mengiakan hal tersebut, dan menuliskan pada kotak rokok amaran begini: MEROKOK MEMBAHAYAKAN KESIHATAN.

 

Kalau pengeluar rokok sendiri sudah menyatakan bahaya produknya berbahaya dan mendatangkan penyakit, bagaimana mungkin perokok masih mau mengingkarinya?

 

Walau pun hampir jumhur para ulamak menghukumkan rokok sebagai haram ada ulamak yang menghukumkan harus dan memperincikan hokum tetapi tidak mewakili pandangan ulamak ramai. Di samping itu mereka juga kekurangan maklumat tentang kandungan rokok dan kesan kesihatan yang serius kepada perokok dan orang di sekeliling.

 

Secara ringkas diperturunkan pendirian beberapa ulamak terkemuka mengenai kedudukan rokok dalam Islam:-

 

 

1. Dr. Yusof al-Qardhawi lebih cenderung kepada hukum haram merokok.

2. Para ulamak Hijaz juga cenderung kepada hukum haram merokok.

 

3. Syeikh Mahmud Syaltut cenderung kepada hukum haram merokok.

 

4. Syeikh Abu Sahal Muhamad bin al-Wa’izh al-Hanafi condong kepada hukum
makruh.

 

5. Syeikh Abdul Ghani al-Nabilisi mengatakan Harus.

 

6. Syeikh Athiyah Saqr condong kepada pendapat yang memperincikan hukum
merokok.

 

Wallahu a’lam

 

Capaian berguna:

bk_tak-nak-merokok_bm.pdf

 

www.muslimaccess.com/articles/misc/smoking.asp
http://www.irfi.org/articles/articles_51(USD 67.05) _100/smoking_is_haram.htm
http://www.crescentlife.com/wellness/smoking_is_haram.htm
http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-English-Ask_Scholar/FatwaE/FatwaE&cid=1119503543740
http://www.islamfortoday.com/syed08.htm
http://www.emro.who.int/Publications/HealthEdReligion/Smoking/Excerpts.htm
http://www.emro.who.int/Publications/HealthEdReligion/Smoking/Summary.htm
http://www.islamawareness.net/Smoking/mufti.html
http://www.daralislamlive.com/modules.php?name=Lectures&action=display_lecture&lecture_i

Excerpt 1

Berita Harian ( 19.07.2007 ) Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nordiyanah Hassan berkata daripada kajian yang dilakukan pihaknya mendapati 40.2 peratus golongan dewasa di negeri ini menghisap rokok. Terengganu ialah negeri tertinggi jumlah perokok di kalangan orang dewasa apabila hampir separuh daripada golongan itu terbabit dengan tabiat berkenaan.

Golongan remaja juga terbabit manakala ramai kaum wanita ketagih tembakau katanya kepada pemberita selepas perasmian Hari Tanpa Tembakau Sedunia dan Calvacade ” Jom Tak Nak Merokok ” peringkat negeri Terengganu.

Excerpt 2

Klinik henti merokok tak dapat sambutan

GEORGETOWN: Klinik Berhenti Merokok yang diperkenalkan di negara ini sejak lima tahun lalu tidak mendapat sambutan daripada perokok, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon.


Ia kerana, kementerian itu mendapati tidak sampai 20 peratus daripada kira-kira 4.6 juta perokok di negara ini mendaftar bagi mendapatkan nasihat dan kaunseling yang disediakan di klinik berkenaan.

Lee berkata, kementeriannya mendapati keadaan itu disebabkan kebanyakan perokok tidak tahu mengenai kewujudan klinik itu, malu untuk menyertai program kaunseling dan lebih teruk lagi, enggan berhenti merokok.

Akibatnya kata beliau, sasaran kementerian untuk mencapai 30 peratus perokok mendapatkan khidmat di klinik itu gagal dicapai.

“Sambutan terhadap klinik ini memang tidak begitu menggalakkan tetapi kementerian akan terus menggandakan kempen kesedaran ‘Tak Nak’ supaya perokok berhenti daripada tabiat tidak sihat ini,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas melancarkan Ops Tak Nak di Sekolah Menengah Kebangsaan Cina (SMKC) Sacred Heart di Balik Pulau, semalam.

Kerajaan memperuntukkan RM7 juta bagi melaksanakan kempen antimerokok secara lebih agresif dalam usaha mengurangkan jumlah perokok yang kini mencecah 4.6 juta orang.

Hampir 50 peratus lelaki Malaysia merokok, iaitu jumlah yang jauh lebih tinggi berbanding peratus perokok di negara maju seperti Amerika Syarikat (35 peratus) dan United Kingdom (38 peratus).

Daripada jumlah itu lapan peratus adalah golongan remaja.

Kerajaan melancarkan kempen ‘Tak Nak’ pada 2004 untuk menyedarkan rakyat mengenai bahaya tabiat merokok.

Lee berkata, trend merokok di kalangan remaja terutama pelajar bawah 18 tahun kini amat membimbangkan kerana jumlahnya meningkat setiap tahun.

Katanya, Kaji Selidik Tembakau Belia Global mendapati 20 peratus daripada pelajar yang berumur 13 hingga 15 tahun adalah perokok, manakala remaja bawah 18 tahun yang merokok juga meningkat sehingga 20 peratus.

Berikutan itu, Kempen Ops Tak Nak kini akan diperhebatkan di sekolah termasuk merujuk pelajar merokok ke Klinik Berhenti Merokok untuk ‘rawatan’.

“Guru pula akan terus membuat pemeriksaan mengejut dan rambang di setiap kelas untuk mengesan pelajar membawa rokok ke sekolah dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka.

“Pegawai Jabatan Kesihatan juga akan diarah membuat pemeriksaan di warung dan kompleks beli-belah yang menjadi tempat pelajar melepak untuk memberi nasihat atau denda terhadap mereka yang merokok di tempat awam,” katanya.

Sumber: Berita Harian ( 4 Okt 2006)

 

No comments yet»

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: