Weblog Abuyusoef aka Abuyya

Just another WordPress.com weblog

Siapa Yang Menjadi Mangsa Daripada Larangan Bertaqlid?

Berikut ialah tulisan dari sahabat PMRAM Mesir menyorot tentang persoalan larangan bertaqlid yang hebat diperbincangkan tetapi implikasinya larangan tersebut, golongan awamlah yang menjadi mangsa. Aduhai ulamak tanpa mazhab atau salafiyyun!!! Ke manakah anda ingin membawa ummah ini atau ini suatu taktik toriqah menghalalkan sesuatu yang anda sedang perjuangkan?

 

ImageOleh: Abdul Mu’izz Bin Muhammad

(Ketua Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM 2007)

Taqlid merupakan satu bentuk kelonggaran terhadap umat di dalam melaksanakan ibadat. Istilah ini bermaksud ‘mengamalkan sesuatu pendapat tanpa mengetahui hujahnya’ (lihat kitab Al-Ihkam fi Usulil Ahkam cetakan Darul Kutub Ilmiyyah Beirut jilid 3 mukasurat 445)

Taqlid disifatkan sebagai bonus untuk masyarakat awam di dalam kehidupan mereka. Hakikat ini perlu diterima kerana Allah menjadikan manusia berperingkat-peringkat dari sudut tahap pemikirannya. Bagi mereka yang alim, tiada masalah untuk mengetahui secara terperinci dalil dan hujah sesuatu permasalahan. Mereka mampu berbuat demikian dalam erti kata lain tidak bertaqlid. Golongan seperti ini yang disifatkan sebagai mujtahid adalah terlalu sedikit bilangannya. Hal ini berlaku kerana syarat ijtihad terlalu ketat demi memastikan disiplin dan piawaian ilmu Islam terpelihara.

Sebaliknya bagi orang awam, mereka disifatkan sebagai yang tidak mampu berijtihad lalu mereka perlu untuk bertaqlid. Mereka wajib mengambil pandangan mujtahidin demi kemudahan mereka dalam beribadat. Berdasarkan pandangan majoriti ulama’ mazhab yan empat, sesungguhnya taqlid diwajibkan ke atas orang awam (lihat kitab Usul Feqh Dr. Wahbah Zuhaili cetakan Darul Fikr Syria jilid 2 muka surat 407)

Saranan ini dibuat memandangkan mereka tidak mempunyai kemampuan berijtihad. Inilah hakikat situasi bagi golongan awam, tidak boleh lari dari taqlid. Realitinya, ijtihad adalah satu kemampuan yang tidak dapat dicapai melainkan oleh sebilangan kecil mereka yang terpilih berdasarkan usahanya. Berikut adalah syarat ijtihad yang telah digariskan majoriti ulama’ Usul Feqh.

1) Pakar ilmu Tafsir, sebab turun ayat dan nasikh mansukh.

2) Pakar ilmu Hadith Riwayah dan Dirayah, nasikh mansukh hadith serta sebab terbit hadith.

3) Pakar kaedah bahasa Arab.

4) Pakar mengenai perbahasan ijma’ ulama’.

5) Pakar ilmu Usul Feqh.

6) Pakar konsep Maqasid Syar’iyyah.

7) Pakar membaca kondisi permasalahan manusia merangkumi aspek sosio politik.

8) Diyakini adil dan bertaqwa.

(lihat kitab Al-Ijtihad Fi Syariah Islamiah Dr Yusuf Al-Qaradhawi cetakan Darul Qalam Kuwait)

Dari syarat berikut, jelas menunjukkan kepada kita betapa ketatnya disiplin ilmu di dalam Islam. Hal ini juga memberi kesedaran betapa payahnya seorang awam mampu melepaskan pergantungannya dengan taqlid.

Sesungguhnya Islam adalah cara hidup yang mudah. Allah tidak akan membebani hambanya dengan perkara diluar kemampuan mereka.

“لاَ يُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهاَ”

“Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya” Surah Al-Baqarah ayat 286.

Taqlid membuktikan Islam bersifat Rahmat terhadap umatnya. Jika tidak berkemampuan, maka ikutlah pandangan Ulama’ Mujtahidin. Kenyataan ini sesuai dengan saranan Allah;

“فَسْئَلُوْا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لاَتَعْلَمُوْنَ”

“Maka bertanyalah pada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui” Surah Al-Nahl 43.

Apabila seseorang tidak mengetahui sesuatu hukum, dia hendaklah bertanya kepada mereka yang lebih faham. Konsep “meminta pendapat untuk diikut” inilah isyarat bagi taqlid. Pembaca boleh merujuk kembali perbahasan ulama’ muktabar berkenaan taqlid. Kurniaan ini sememangnya bahagian untuk golongan awam.

Tidak boleh bertaqlid?

Namun diakhir-akhir ini kita sering mendengar ajakan umum supaya tidak bergantung dengan taqlid. Perlu diperincikan bagaimana kondisi mereka yang terdiri dari golongan awam mendengar seruan ini.

Islam tidak menyama-ertikan peranan dan kemampuan manusia. Bagi mereka yang alim, mampu untuk berijtihad, maka itu adalah bahagian dan kelayakan mereka. Definisi individu ‘alim’ yang tidak perlu bergantung kepada taqlid merujuk kepada syarat-syarat ijtihad yang telah disebutkan. Jika diri kita tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, maka sedarlah bahawa taqlid adalah bahagian kita.

Bukanlah disini kita menyeru umat supaya rigit bergantung sepenuhnya dengan taqlid, cuma kita perlu ‘sedar diri’ akan kemampuan dan kelayakan kita. Bagi orang awam, jangan didedahkan dengan perkara yang tidak sampai kemampuan akal mereka. Saidina Ali telah berpesan;

“حَدِّثُوا النَّاسَ بِمَا يَعْرِفُوْنَ! أَتُحِبُّوْنَ أَنْ يُكَذَّبَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ؟”

“Hendaklah kamu bercakap kepada manusia dengan barang yang mereka faham. Apakah kamu suka bahawa Allah dan RasulNya didustakan orang?”

(Sahih Bukhari, permulaan bagi Bab Pengkhususan ilmu bagi sesetengah golongan, bukan bagi golongan selebihnya kerana bimbang mereka tidak memahaminya)

Ibnu Abbas juga meriwayatkan hadith yang berpesan supaya berjaga-jaga memberikan ilmu agar ia tidak menjadi fitnah kelak;

“مَا أَنْتَ بِمُحَدِّثٍ قَوْماً حَدِيْثاً لاَ تَبْلُغُهُ عُقُوْلُهُمْ إِلاَّ كَانَ لِبَعْضِهِمْ فِتْنَةً”

“Tiada engkau berkata-kata di hadapan satu kaum dengan ilmu yang belum dapat difahami oleh mereka, kecuali perkara itu akan menjadi fitnah bagi sebahagian mereka” (Kanzul ‘Ummal hadith 29011)

Janganlah disalah-ertikan peringatan sebegini. Ia bukanlah seruan untuk menyembunyikan ilmu, jauh sekali mengajar umat supaya beku pemikiran. Sebaliknya peringatan tersebut demi menjaga keharmonian dan displin ilmu Islam. Kini jelas terbukti fitnah yang melanda apabila orang awam didedahkan dengan percanggahan hukum yang masih belum layak mereka diberi pendedahan. Ilmu Islam bukanlah ilmu pinggiran yang boleh diterokai tanpa mengutamakan disiplin dan peringkat yang telah ditetapkan. Ia haruslah didalami dari ‘A’ hingga ‘Z’ dan perlu menjalani piawainya secara konsisten. Tiada jalan singkat umpama membaca sendiri tanpa bimbingan guru. Mudah menghukum serta mendabik dada ‘aku sahaja yang betul’ antara bentuk fenomena berupa fitnah yang terjadi.

“Apa yang berlaku di zaman kita, ramai anak muda yang membaca beberapa kitab terutamanya tentang ilmu hadith, lantas merasakan diri mereka sudah hebat berilmu, padahal mereka tidak mengecapi permulaannya. Golongan seperti ini mendakwa mereka mampu berijtihad di dalam urusan agama tetapi mereka tidak mahir mengenai kaedah seni bahasa Arab, nahu dan saraf. Mereka tidak mendalami ilmu Usul Feqh. Golongan seperti ini disifatkan oleh Imam Al-Zahabi umpama burung yang ingin terbang tetapi tidak mempunyai bulu” (lihat kitab Al-Sahwah Al-Islamiyyah Minal Murahaqah Ila Al-Rusyd Yusuf Al-Qaradhawi cetakan Darul Syuruq Mesir mukasurat 205)

Tidak cukup dengan membaca beberapa hadith lantas terus berhukum dengannya. Menjadi satu kesilapan besar apabila mencari hukum di dalam kitab hadith. Kenyataan ini bukanlah seruan anti hadith, sebaliknya atas pendirian jika ingin berbahas soal hukum, perlu berinteraksi dengan kaedah Usul Feqh dan Feqh, bukan dengan Ulum Hadith. Imam Syafi’e menyifatkan kaitan antara fuqaha dan muhaddithin dengan perumpamaan;

“أَنْتُمُ الصَيَادِلَةُ وَنَحْنُ الْأَطِبَّاءُ”

“Kalian (muhaddthin) adalah penjual ubat-ubatan dan kami (fuqaha’) adalah doktor” (lihat Siar A’lam Nubala’ cetakan Baitul Afkar Al-Dauliy Jordan jilid 3 mukasurat 3282 tokoh yang ke 4948)

Sepertimana ubat tidak boleh berdikari sendiri mengubati pesakit, orang yang hanya mengetahui nas hadith tidak boleh berdikari sendiri berijtihad mengenai hukum tanpa bantuan ahli Feqh yang mahir metod istinbat hukum. Begitu juga hal sebaliknya, saling bekerjasama antara satu sama lain.

Di dalam kitab yang sama, Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan sifat golongan yang menegah orang lain bertaqlid dengan mazhab sebagai pencetus mazhab yang kelima dengan katanya:

“…ada golongan yang memerangi konsep mazhab, memerangi mazhab feqh dengan melarang walaupun dari golongan awam untuk bertaqlid. Pada masa yang sama mereka bertaqlid dengan pandangan guru mereka, maka jadilah mazhab yang kelima!” (mukasurat 204)


Jika difikirkan mengikut realiti, mana mungkin gesaan meninggalkan taqlid dapat diamalkan seterusnya menempatkan idea tersebut sebagai cetusan yang praktikal. Melarang orang lain bertaqlid dan dalam pada masa yang sama dia bertaqlid dengan gurunya. Di sudut yang lain, seolah-olah memaksa orang lain mengikut pandangannya, meninggalkan pandangan mujtahidin yang lain. Bukankah itu konsep taqlid yang ditegahnya?


Dari aspek lain pula, larangan bertaqlid sangat merugikan dan menyusahkan umat sekaligus menafikan nilai Islam sebagai cara hidup yang mudah.


Jika inilah pemikirannya, cuba bayangkan situasi umum berikut. Solat wajib, sebelum melaksanakannya perlu mencari dalil yang kukuh akan kewajibannya. Setelah itu mencari dalil wudhu’, cara berwudhu’. Apabila ingin mendirikan solat perlu dibuat kajian pula bagaimana cara solat. Mana dalilnya, sejauh mana status dalil tersebut. I’tiradh disusuli dengan tarjih. Didalam tempoh istidlal tersebut, luputlah waktu masyarakat awam.


Gesaan untuk meninggalkan taqlid akan menjadikan orang awam sebagai mangsa kekeliruan larangan bertaqlid. Pada masa yang sama, gesaan ini akan mensia-siakan autoriti ulama’ mujtahidin dengan tidak bertaqlid dengan mereka. Seolah-olah mereka penjenayah ilmu yang diragui kepercayaannya.


Mengapa di dalam urusan lain yang pengkajinya bukan dari orang yang mempunyai amanah Islam, kita mudah ‘taqlid’ dengannya. Mengapa tidak dikaji dahulu sejauh mana tahap keselamatan dan mujarab sesuatu ubat, sebaliknya selesa bertaqlid dengan doktor tersebut. Mengapa tidak dikaji sendiri bagaimana tahap keselamatan kapal terbang sebelum menaikinya? Jarak antara bumi dan matahari yang didakwa ahli astronomi sejauh 93 juta batu, mengapa tidak diukur sendiri sebaliknya terus mengambil fakta tersebut.


Di sini tergambar seolah-olah tidak adil menilai. Dengan pendapat ulama’ mujtahidin, kita seolah-olah ragu-ragu untuk mengikutinya, sebaliknya dengan doktor, jurutera dan selainnya, kita selesa bertaqlid.


Imam Abul Faraj Al-Jauzi menegaskan antara bentuk mainan iblis adalah “…sibuk berbahas dan berdebat dengan sangkaan untuk memperbetulkan hukum serta istinbat syara’ yang halus antara mazhab-mazhab” (lihat Talbis Iblis cetakan Maktabah ‘Asriyyah Beirut mukasurat 114)


Tidak perlu mendabik dada ingin mengamalkan Al-Quran dan Sunnah sahaja tanpa mazhab kerana itu sememangnya adalah aqidah seluruh kaum mu’minin. Kenyataan ini juga berbentuk hinaan terhadap ulama’ seolah-olah mereka mengistinbat hukum tanpa panduan dua rujukan agung tersebut.


Semangat dan kehendak Ulama’ Mujtahidin lampau lebih hebat beribu-ribu kali ganda dalam berhukum dengan rujukan tersebut. Dakwaan ulama’ bukan ma’sum tidak perlu dijadikan modal kerana umum mengetahui sememangnya itu bukan pegangan kita. Cuma pandangan yang mengatakan ingin berhukum dengan wahyu sahaja tanpa anjuran ulama’ boleh disangkal dengan hujah; sememangnya kalian mengikut nas wahyu, tetapi pemahaman kalian terhadapnya bukanlah wahyu. Justeru mengapa menegah orang lain bertaqlid dengan ulama’ mazhab sedangkan merekapun bersumberkan Al-Quran dan Al-Sunnah. Pendapat ulama’ juga adalah fakta yang diiktiraf didalam Islam.


Taqlid bukanlah satu kelonggaran berbentuk hinaan terhadap ilmu dan golongan awam, sebaliknya ia membuktikan sifat rahmat dan mudahnya praktikaliti ibadat di dalam Islam. Agak mustahil kehendak tidak bertaqlid dapat dilaksanakan di peringkat umum kerana ia bersifat fitrah. Selagi mana ada darjat awam dan alim, selagi itulah taqlid menjadi bahagian buat golongan awam.


Penutup

Fitnah seperti ini harus dibendung agar kesatuan umat terpelihara. Golongan agama perlu bijak menilai relevan anjuran yang dibuat terhadap mad`unya. Jangan menganggap semua orang mampu jadi seperti kita, sebaliknya di sana kita perlu mengakui darjat ilmu dan kemampuan manusia. Sifat meraikan suasana amat perlu diberi perhatian agar keharmonian ilmu tidak dicemari. Jika taqlid tidak dibenarkan, menjadi satu bala bagi mereka yang mempunyai tugas lain, menumpukan perbahasan yang tidak diwajibkan ke atasnya.

Sepatutnya golongan agama memikirkan perkara yang lebih besar mengikut prioriti semasa demi merubah gaya kehidupan umat kembali mengecapi kesyumulan Islam. Bukan gaya kita sibuk melayan perkara remeh-temeh, namun adakalanya kita perlu memberikan respon bagi mencerahkan pemahaman masyarakat.

 
 

No comments yet»

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: