Weblog Abuyusoef aka Abuyya

Just another WordPress.com weblog

Khutbah Jumaat 27hb Julai di Masjid Firdaus BBS

Khutbah Jumaat hari ini di Masjid Al-Firdaus, Bandar Baru Selayang yang disampaikan oleh Ustaz Firdaus membicarakan tentang pengamalan riba’ dalam perniagaan dan kesannya dalam kehidupan seharian, antara lainnya beliau menyebut:

 

 

“Perniagaan adalah satu pekerjaan yang mulia disisi Allah s.w.t. Bahkan terdapat di kalangan para nabi yang terlibat dengan aktiviti perniagaan. Umpamanya Nabi Idris terlibat dengan jahitan. Nabi Daud pula dengan pertukangan besi. Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah terlibat dengan perdagangan dinegeri Syam.Oleh itu berniaga adalah satu sunat para nabi. Rasulullah s.a.w telah membawa khabar gembira kepada para peniaga yang mengamalkan sikap jujur dan amanah ketika mana mereka berurus niaga. Sabda rasulullah s.a.w:

 

tajir.jpg

 

 

“Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi,sodikin, orang-orang yang mati syahid pada hari kiamat kelak”.(Riwayat At-Tarmizi Ibnu Majah)

 

 

Banyak kelebihan yang diperolehi oleh orang yang terlibat dengan perniagaan. Pintu rezeki terbuka luas bagi orang yang berniaga berbanding dengan bidang-bidang yang lain.Rasulullah s.a.w sendiri amat menggalakkan umatnya supaya berniaga. Bahkan dikalangan para sahabat rasulullah terdapat sahabat yang terlibat secara aktif dalam perniagaan seperti usman bin affan,abdul rahman bin auf dan seumpamanya. Mereka adalah peniaga yang jujur, amanah dan hebat. Abdul rahman bin auf sendiri adalah salah seorang peniaga islam contoh. Beliau pernah menjual seribu ekor unta dalam masa sehari sahaja. Beliau menjualnya dengan harga yang murah, beliau hanya mengambil untung atas tali yang mengikat unta sahaja. Setiap utas tali itu, beliau mendapat untung satu Dirham. Dengan itu, beliau berjaya memperolehi keuntungan seribu darham dalam satu hari. Inilah kenyataan yang pernah disabdakan oleh rasulullah s.a.w:

 

alaikum-bitijarah.jpg

 

 

 

“Hendaklah kamu berniaga, sesungguhnya perniagaan itu menjana 9/10 daripada rezeki”.(Riwayat Ahmad)

 

 

Ustaz juga menyatakan, “Sungguh pun islam menggalakkan umatnya melibatkan diri dalam bidang perniagaan, namun mereka adalah terikat dengan syariat islam. Peniaga islam perlu memahami hukum-hakam dalam perniagaan, supaya mereka tidak melanggar batas-batas hukum yang telah ditetapkan oleh allah s.w.t. Mereka tidak boleh menipu, tidak boleh memberi rasuah, tidak boleh terlibat dengan amalan riba’ dan amalan-amalan lain yang bertentangan dengan syariat islam. Agama islam amat tegas dalam amalan riba’. Islam menganggap riba’ sebagai amalan yang keji dan tergolong sebagai salah satu dosa besar. Islam menolak segala bentuk amalan riba’. Rasulullah dengan tegasnya mengeji amalan berunsurkan riba’. Saidina Jabar r.a meriwayatkan sebuah hadis mengenai riba’:

 

 

laana.jpg

 

 

 

Rasulullah s.a.w melaknat pemakanan riba’, wakilnya, penulisannya,dua orang saksinya. Rasulullah s.a.w bersabda:”Kesemua mereka itu sama sahaja”.(Riwayat Muslim)

 

 

Rasulullah s.a.w dengan kerasnya mencela orang yang terlibat dengan amalan riba’.Mereka adalah golongan yang menekan dan menindas para peminjam. Justeru, allah s.w.t telah memberi peringatan kepada orang yang beriman supaya menjauhi amalan riba’ dan seterusnya mengistiharkan perang kepada pemakan riba’. Firman allah s.w.t:

 

 

riba1.jpg

 

 

 

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki-baki riba’ (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman. oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba’ itu) ketahuilah kamu,akan adanya peperangan dari allah dan rasulunya (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, Dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa”. (Al-Baqarah ayat 278-279)

 

 

Ustaz Firdaus juga mengingatkan tentang salah faham umat islam, katanya: “Sesetengah orang menyangka bahawa harta yang haram itu adalah hasil daripada kerja mencuri atau merompak sahaja. Mereka lupa bahawa harta yang dihasilkan daripada riba’ juga adalah haram. Lebih dahsyat lagi, apabila orang yang bergelumang dengan amalan riba’ menganggap jual beli dan riba’ adalah sama sahaja.Begitu juga antara peminjam konvensional (yakni pinjaman secara riba’) dengan peminjam perbankkan islam, mereka mengaggap adalah sama sahaja, sedangkan allah s.w.t hanya menghalalkan perniagaan, tetapi tidak menghalalkan riba’. Firman allah s.w.t:

 

riba2.jpg

 

 

 

“Mereka mengatakan : “Bahawa sesungguhnya berjual-beli itu sama sahaja seperti riba'”. Pada hal allah telah menghalalkan jual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba’.(Al-Baqarah ayat 275)

 

 

Orang yang terlibat dengan riba’ akan dicabut keberkatan dalam hidupnya. Firman allah s.w.t:

 

riba3.jpg

 

 

 

 

“Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba’, dan ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa”. (Al-Baqarah ayat 276)

 

 

Bagaimana memperolehi keberkatan dalam hidup jika kehidupan berbaur dengan amalan riba’?. Apakah kita tidak terfikir bahawa harta yang diperolehi daripada pendapatan yang haram seperti riba’, pasti tidak akan mendatangkan keberkatan?.

 

 

Ustaz juga menukilkan apa yang pernah ditulis oleh Syeikh Ibnu Hajar Al-Haithami dalam kitabnya Az-zawajir yang menjelaskan tentang harta orang yang terlibat dengan riba’ akan hilang berkat, antaranya:

 

 

1- Harta itu mudah hilang

 

 

2- Harta itu dibelanjakan bagi perkara yang tiada berfaedah dan membawa kepada dosa.

 

 

3- Jiwanya terasa miskin walaupun hartanya banyak.

 

 

4- Harta itu mudah mendorong pemiliknya melakukan dosa dan maksiat.

 

 

5- Hilang sifat amanah.

 

 

6- Cenderong kepada amalan rasuah dan penipuan.

 

 

7- Harta itu terdedah kepada kecurian,rompakkan dan dikhianati.

 

 

8- Sentiasa terdedah kepada bahaya doa orang yang dizaliminya.

 

 

Para jemaah juga ditarik perhatian tentang kewujudan perkhidmatan kewangan secara islam, bersih daripada unsur-unsur riba’ di negara kita. Oleh itu katanya, “Umat islam di malaysia dengan mudah dapat menggunakan perkhidmatan kewangan islam samada mereka tinggal disebuah bandaraya yang besar atau pun disebuah pekan yang terpencil. Oleh itu, tidak ada sebab untuk umat islam menggunakan perkhidmatan pinjaman daripada institusi kewangan yang berteraskan riba’. Apatah lagi dengan institusi kewangan dipasaran gelap seperti “Along” , yang bukan sahaja mengenakan faedah atau bunga yang tinggi, malah boleh mengancam nyawa mangsa yang tidak mampu melunaskan hutangnya.” Beliau lalu memetik sepotong ayat Al-Qur’an dari surah ali Imran, ayat 30 yang berbunyi,

 

 

“Wahai orang-orang yang beriman!,janganlah kamu memakan (atau mengambil), riba’ dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertakwa kepada allah, supaya kamu berjaya”.

 

 

Mudah-mudahan khutbah yang cukup bermakna ini mampu menyedarkan umat islam supaya kembali kepada ajaran islam sebenar dan tidak terjebak dengan riba’.

 


No comments yet»

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: